Hardware & Software
90%
Reka Bentuk
85%
Prestasi
90%
Kamera
85%
Bateri
95%
Bagi mereka yang mencari-cari peranti yang mempunyai tanda harga budget tapi masih mahukan prestasi, bateri yang besar, saiz skrin yang lebar inilah peranti yang perlu anda pertimbangkan.

Siri Redmi Note adalah satu model yang menerima sambutan yang amat baik di Malaysia dan juga di dunia. Ini boleh dilihat dimana pesaing mereka melancarkan beberapa peranti yang cuba menggugat kedudukan siri Redmi Note dihati pengguna telefon pintar. Mac lepas, pihak Xiaomi melancarkan siri terbaru untuk Redmi Note iaitu Redmi Note 9 Pro dan Redmi Note 9 Pro Max. Malangnya model ini untuk pasaran India. Tetapi pada penghujung Mac Xiaomi memperkenalkan Redmi Note 9S dilancarkan dan dijual terus di Malaysia sekaligus menjadikan kita antara terawal menerimanya. Pada penghujung April, Xiaomi mengumumkan 2 variasi Global untuk siri Redmi Note 9 iaitu Redmi Note 9 dan Redmi Note 9 Pro. Dengan pengumuman itu, pihak Xiaomi Malaysia mengesahkan kedua-dua model ini akan ditawarkan pada pertengahan bulan Mei seterusnya melengkapkan siri Redmi Note 9 yang ditawarkan di Malaysia.

Spesifikasi

Spesifikasi Redmi Note 9 Pro

Sistem Operasi, Prosessor, GPU & RAMSistem Operasi : Android 10 (MIUI11)
Prosessor : Qualcomm SM7125 Snapdragon 720G (8 nm)
GPU: Adreno 618
RAM : 6GB RAM
SkrinResolusi: 1080 x 2400 piksel, 20:9 ratio
Saiz : 6.67 Inci
Jenis: IPS LCD Capasitive Touchscreen
KameraKamera Utama (Quad) :
64 MP, f/1.9, 26mm (wide), 1/1.72", 0.8µm, PDAF
8 MP, f/2.2, 13mm (ultrawide), 1/4.0", 1.12µm
5 MP, f/2.4, (macro), AF
2 MP, f/2.4, (depth)
Kamera Hadapan : 16 MP, f/2.5, (wide), 1/3.1" 1.0µm
Rakaman video :
Belakang : 4K@30fps, 1080p@30/60/120fps, 720p@960fps
Hadapan : 1080p@30/120fps
*Kedua-dua kamera menyokong rakaman video sehingga 1080p
MemoriStoran dalaman : 64GB dan 128GB.
Buat masa ini, hanya versi 128GB ditawarkan untuk pasaran Malaysia
Kad memori : Menyokong penggunaan kad microSD (menggunakan slot khusus)
SambunganWiFi : Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, dual-band, Wi-Fi Direct, hotspot
Kedua-dua SIM Menyokong jaringan LTE/4G
Bluetooth : v5.0, A2DP, LE
USB: 2.0, Type-C 1.0
NFC : Ada
Bateri5020 mAh Li-Po. Tidak boleh diakses.
Menyokong pengecasan pantas 30W.
Harga PasaranRM 1099
Pilihan WarnaTropical Green, Glacier White, Interstellar Grey
Lain-lainMempunyai IR Blaster untuk kawalan alat jauh
Pengimbas cap jari pada butang kuasa dibahagian sisi kanan peranti

Perbandingan Redmi Note 9, Note 9 Pro dan Note 9S

Rekaan

Ianya tidak dapat disangkal dimana rekaan peranti Redmi Note 9 Pro indah dengan beberapa pilihan warna yang mengagumkan, bucu melengkung dan susunan modul kamera yang seimbang. Untuk Redmi Note 9 Pro ini ianya didatangkan dengan 3 pilihan warna iaitu Glacier White, Interstellar Grey dan Tropical Green. Dan peranti yang ada pada aku adalah berwarna Interstellar Grey dan adakalanya ianya kelihatan kebiru-biruan dari pandangan mata kasar aku. Peranti ini menggunakan binaan kerangka dari plastik dan panel belakang berasaskan kaca. kelihatan menakjubkan menerusi cahaya matahari dengan panel belakang berkilat tetapi tiada apa-apa yang mengujakan mengenai rekaan tersebut. Agak mengecewakan dimana panel belakang tersangat mudah meninggalkan kesan cap jari dan satu-satunya jalan keluar adalah dengan menggunakan pelindung yang disertakan didalam kotak. Rekaan kamera belakang yang agak menonjol keluar boleh membuatkan lensa kacanya mudah kotor dan perlu dibersihkan sebelum merakam gambar. Jika anda ingin membeli pelindung (case) anda perlu memilih pelindung yang dapat melindungi lensa kameranya dan panel kaca belakang peranti ini.

 

Dibahagian hadapan peranti anda akan dipersembahkan dengan paparan skrin IPS LCD DotDisplay bersaiz 6.67 inci dengan paparan resolusi Full HD+ serta kamera harapan 16MP yang menyokong 120fps Slo-Selfie. Rekaan skrin hadapannya aku merasakan dengan saiz skrin sebesar ini, ianya tidak begitu mesra untuk menggunaan sebelah tangan kerana saiz skrin yang besar dan peranti yang agak berat ketika dipengang. Xiaomi juga berjaya mengekalkan bezel dengan dagu yang sedikit lebar. Menariknya, pihak Xiaomi memasang skrin pelindung pada peranti ini, jadi anda tidak perlu risau akan skrinnya calar semasa menggunakannya. Pada bahagian atas skrin terdapat pembesar suara dan LED notifikasi yang hanya menggunakan warna putih jika terdapat notifikasi atau semasa anda mengecas peranti ini.

Dibahagian sisi atas peranti terdapat lubang microfon dan sensor infra merah. Di sisi kanan terdapat butang kawalan suara dan butang kuasa yang turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari. Butang kuasanya sedikit tersembunyi yang memudahkan untuk dicari dengan sentuhan. Kedudukan butang kawalan suara yang agak tinggi agak menyukarkan aku ketika ingin mengawal kelantangan suara kerana perlu meluncurkan peranti kebawah. Sekiranya anda kidal seperti aku, aku kerap memegang peranti ini menggunakan tangan kiri dan menambah jari telunjuk kiri pada pengimbas cap jarinya. Tetapi, dalam tempoh penggunaan aku, adakalanya pemgimbas tersebut tidak dapat mengesan cap jari kiri tersebut atau sedikit lambat. Pada sisi kiri pula hanya terdapat 2 slot kad sim bersaiz nano dan kad microSD. Untuk slot kad microSD, kali ini Xiaomi memberi slot khusus tidak seperti siri Redmi Note sebelum ini yang menggunakan slot hybrid. Manakala sisi bawah peranti, ia mempunyai bicu fon kepala bersama dengan port USB Type-C beserta pembesar suara dan mikrofon.

Antaramuka MIUI

Seperti mana yang kita tahu, untuk kesemua peranti Xiaomi kecuali peranti yang didalam siri Android One menggunakan antaramuka MIUI sebagai paparan utama. Pada aku sendiri, antaramuka MIUI langsung tidak asing kerana aku telah menggunakan paparan MIUI ini vejak versi ke 3 lagi. Sehingga hari ini, versi MIUI yang terkini adalah versi 12 dan masih belum lagi ditawarkan pada peranti Redmi Note 9 Pro.Untuk Redmi Note 9 Pro, ianya masih menggunakan MIUI 11 pada sistem operasi Android 10. Dari pengamatan aku, untuk MIUI yang menggunakan Android 10, ianya menggunakan Google Phone dan Message berbanding aplikasi Mi Phone dan Mi Message yang terdapat pada peranti lain yang menggunakan MIUI. Jadi penggunaan tema yang mengubah paparan dail up, contact dan massage tidak disokong pada peranti ini. Begitu juga dengan aplikasi App Vault yang digantikan dengan aplikasi Google Discovery.

Walaupun dengan itu sokongan mod gelap (dark mode) boleh dirumuskan berjaya diadaptasi kepada hampir semua paparan aplikasi yang dipasang tanpa sebarang masalah. Kedudukan kamera hadapan yang terletak pada skrin tidak mengganggu keseluruhan paparan walaupun adakalanya screen bleeding kelihatan ketara apabila skrin memaparkan latar belakang yang cerah disekelilingnya.

Sejujurnya, ini adalah peranti pertama untuk aku yang menyokong full screen display. Walaupun pilihan butang navigasi boleh diaktifkan, tetapi aku merasakan ianya mengurangkan sedikit keseronokkan pada peranti yang menyokong full screen gesture. Lantas dengan itu, aku mengambil keputusan mengaktifkan kawalan navigasi dengan menggunakan gesture. Untuk 2-3 hari pertama, ianya amat kekok apabila melayari aplikasi dan melakukan gesture. Tetapi kini, aku merasakan keputusan untuk menggunakan gesture adalah pilihan yang tepat.

Kamera

Telefon pintar ini mempunyai konfigurasi kamera quad di bahagian belakang yang terdiri dari kamera utama 64MP, kamera sudut ultra lebar 8MP, kamera Makro 5MP, dan sensor kedalaman 2MP. Kali ini aku sedikit merasa terbatas semasa menguji kamera kerana terdapat kengkangan masa dan tidak dapat mencari lokasi atau situasi yang bagus atas sebab penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan baru-baru ini. Namun, aku cuba sebaik mungkin untuk menangkap subjek dan persekitaran yang berbeza untuk memberi anda idea yang lebih baik mengenai apa yang ditawarkan oleh kamera peranti ini.

This slideshow requires JavaScript.

Untuk kamera utamanya, penghasilan gambar dari sudut warna dan perincian agak baik. Penghasilan warna yang boleh dikatakan sejuk atau lembut adakalanya kebiru-biruan. Untuk mod portrait pula aku merasakan kadar kedalaman gambar dan penghasilan bokeh agak baik sekali. Ditambah pula anda boleh melakukan suntingan terhadap bokehnya pada gambar potrait. Gambar mod sudut ultra lebarnya bagus dan berfungsi dengan baik walaupun beberapa butiran hilang. Lensa makro memerlukan penambahbaikan kerana gambar yang didiambil kelihatan tidak difokus dengan baik dan mengakibatkan gambar tersebut kelihatan kabur.

Untuk rakaman video, kualiti rakaman yang diambil pada keadaan cukup cahaya boleh dikatakan baik. Walaubagaimana pun, ketiadaan penstabilan imej optik atau elektronik sedikit mengganggu kualiti video. Apabila melakukan rakaman diwaktu malam, kualiti video agak kurang memuaskan. Untuk kualiti audio yang dirakamkan, pada aku ianya biasa-biasa sahaja.

Audio

Bercerita ke kualiti audio dari peranti ini, aku agak kecewa dengan tahap kelantangannya. Walaupun anda boleh mendengar dengan jelas pada aras maksimum, ianya aku rasakan perlahan ditambahkan pula dengan kedudukan pembesar suara hanya pada bahagian sisi bawah peranti. Aku sarankan jika anda mahu mendengar muzik, menonton filem atau lain-lain gunakanlah set fon telinga tidak kira dari 3.5mm port bicu audionya atau sambungan bluetooth.

Bateri

Pertama kalinya siri Redmi Note didatangkan dengan bateri berkapasiti 5020mAh. Ianya memang besar dan berjaya mencapai ketahanan yang lama. Dari hari pertama aku amat berpuas hati dengan tahap ketahanan baterinya. Aku berjaya mendapat Screen On Time lebih 7 jam dengan bateri berbaki 15-20%. Untuk hari-hari yang seterusnya, nilai SOT masih didalam lingkungan lebih 7 jam. Dengan sokongan pengecasan pantas dan dihidangkan bersama pengecas 30W masa untuk mengecas peranti ini lebih singkat.

Prestasi

Dilengkapi dengan pemproses Snapdragon 720G, ia menawarkan prestasi terkemuka di kelas untuk telefon bajet. Redmi Note 9 Pro hebat untuk menangani apa sahaja dari kegunaan asas sehingga permainan 3D yang berat, tanpa masalah sama sekali. Multitasking juga lancar dan bebas masalah. Sekiranya anda terbiasa dengan kadar penyegaran paparan yang lebih tinggi, anda mungkin menganggapnya kekurangan, tetapi kebanyakan orang tidak akan perasaan kehilangan tersebut.

Bacaan Penanda Aras Antutu dan Geekbench 5

PUBG Mobile ditetapkan pada kualiti tinggi dan bermain beberapa pusingan selama kira-kira 1 jam dan mendapati bahawa Redmi Note 9 Pro sedikit panas, dan aku menurunkan sedikit kualitinya masih terasa panas. Tetapi rasa panas itu tidak membuatkan aku sukar atau tidak selesa untuk memegangnya. Grafik secara konsisten lancar, dan permainannya menyeronokkan. Asphalt 9: Legends juga tidak memberi aku sebarang masalah.

*Aku akan mengulas lebih lanjut mengenai keupayaan bermain permainan pada Redmi Note 9 Pro.

Untuk penggunaan biasa, termasuk melayari antara aplikasi, media sosial, dan lain-lain, peranti ini tidak mengecewakan. Tidak ada lengah masa atau waktu pemuatan yang luar biasa lama yang dapat aku dapat perhatikan. Tambahan pula, pengurusan memori adalah mesra membuktikan pihak Xiaomi berjaya mengoptimumkan untuk MIUI.

Konklusi

Redmi Note 9 Pro memiliki aspek seperti jangka hayat bateri, prestasi, kebolehpercayaan, dan binaan. Ini menjadikannya sebuah telefon yang aku akan cadangkan untuk mereka yang mempunyai bajet yang terhad. Dengan tanda harga RM1099, ianya memang amat berbaloi untuk dimiliki.

 

Post a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.